INVICTUS

I am master of my fate, I am captain of my soul (from a poem by William Ernest Hendley)
There is no chance, no destiny, no fate, that can circumvent or hinder or control the firm resolve of a determined soul ( quote by Ella Wheeler Wilcox)

Monday 21 November 2016

Menjelang 2017 (updated)

(Post kedua dalam Bahasa Malaysia)

Pada 28 September 2016 lalu, genaplah 3 tahun saya bersara daripada perkhidmatan awam. Masa berlalu dan dalam masa lebih kurang sebulan lagi, kita akan menyambut tahun baru 2017.

Masa awal persaraan dulu, perasaan biasa sahaja. Tidak bimbang sangat tentang keadaan ekonomi negara. Yang saya bimbangkan ialah kalau kalau saya tidak pandai menggunakan masa dan saya akan jadi bosan dan juga merasa nostalgia yang amat sangat kepada kerja dan pejabat tempat bertugas. Kebimbangan itu ternyata tidak menjadi kenyataan. Saya lalui perubahan ke alam persaraan tanpa banyak masaalah. Sebulan dua terasa kehilangan dan ketiadaan kawan-kawan rapat yang hampir setiap hari sarapan bersama dan makan tengahari bersama. Saya ni seorang introvert,  dan mudah mendapat kawan baru bukanlah satu kekuatan personaliti saya. Saya mengambil masa untuk mengenali seseorang. Bagaimana pun jika saya senang dengan seseorang, individu tersebut selalunya akan kekal menjadi kawan saya buat masa yang panjang.  Pada masa yang sama juga ketika awal persaraan itu,  fikiran saya banyak tertumpu kepada isu osteoarthritis lutut kanan saya yang perlu dibedah pada hujung tahun 2013.

Menjelang tahun 2017 perasaan pesara ini penuh dengan kebimbangan. Kalau dalam filem P. Ramlee disebut sebagai perasaan gundah gulana. Banyak sekali persoalan timbul difikiran. Saya ni bukanlah pandai pasal ekonomi atau politik. Rasanya tidak perlu lah pakar ekonomi untuk memahami bahawa keadaan kewangan negara adalah tidak sihat pada ketika ini. Sering terbaca  atau terdengar berita disana sini ramai orang diberhentikan kerja. Ramai yang moonlighting sebagai pemandu Uber. Banyak pula shoplot dipusat belibelah yang tutup. Banyak berita tersebar tentang kekurangan peralatan atau peralatan yang tidak diselenggara di hospital-hospital kerajaan. Ada pula institusi latihan kerajaaan yang membatalkan pengambilan pelajar baru mereka bagi sesi Januari dan Julai 2017. Peruntukan biasiswa untuk pelajar Malaysia dipotong. Terdengar pula berita bahawa wang berbilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) masih belum dibayar kembali, walau pun sudah bertahun juga dipinjamkan. Berita-berita demikian membuatkan saya amat bimbang. Negara berhutang begitu banyak sekali sehingga mungkin satu hari nanti, apa juga bentuk dana kerajaaan yang ada akan digunakan untuk membayar balik hutang piutang yang menimbun tersebut. Adalah tidak mustahil kalau satu hari nanti kerajaaan terpaksa memotong pencen pesara atau mengurangkan gaji kakitangan awam sebagaimana yang terjadi kepada rakyat Greece. Pada satu ketika kerajaan Greece dikejar oleh si pemberi hutang yang memaksa pelaksanaan economic reform yang sangat membebankan rakyat jelatanya.

Saya bersyukur saya masih mempunyai pendapatan yang tetap untuk menyara kehidupan saya dan tiga kucing kesayangan saya. Saya mesti berjimat cermat dengan pendapatan yang saya ada. Standard of living semakin meningkat terutamanya di kawasan bandar besar menyebabkan nilai wang semakin menurun. Makanan kucing pun semuanya sudah naik harga.

Apakah yang akan dibawa oleh 2017? Awan mendung yang suram? Atau ada kelihatan kelibat matahari berada di sebalik awan tersebut? Kita tidak boleh berdoa sahaja supaya keadaan berubah. Pemimpin mestilah jujur dan berazam kuat untuk memperbaiki keadaan. Bukan sekadar untuk mempertahankan kedudukan sendiri supaya tidak tersisih daripada berada didalam golongan yang berkuasa.

(Update)  22 November 2016
Saya pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya semalam kerana ada temujanji. Saya mengambil teksi berkupon daripada KL Sentral dengan harga RM18. Teksi mengambil jalan pintas melalui Universiti Malaya (UM) keluar melalui exit belakang UM dan kemudian masuk ke Jalan Universiti. Terkejut saya melihat terdapat barisan panjang teksi yang menunggu untuk masuk ke PMUM mengambil penumpang sepanjang Jalan Universiti, bermula dari exit belakang UM hingga ke lampu trafik simpang ke PMUM.  Tidak pernah saya melihat keadaan demikian walau pun saya selalu berkunjung ke PMUM. Didalam PMUM tempat teksi menunggu penuh dengan teksi. Pemandu teksi yang saya naiki memberitahu bahawa beliau sendiri menunggu hampir satu setengah jam di KL Sentral  sebelum mengambil saya. Patutlah sekarang sering kita dengar pertelingkahan diantara pemandu teksi dengan pemandu Uber. Kebetulan sajakah semua ini? Atau ini adalah gambaran sebenar kemerosotan ekonomi negara? 

Dekorasi perayaan Krismas pun macam sangat
ala kadar saja. Ke belum siap lagi? 


No comments:

Post a Comment