INVICTUS

I am master of my fate, I am captain of my soul (from a poem by William Ernest Hendley)
There is no chance, no destiny, no fate, that can circumvent or hinder or control the firm resolve of a determined soul ( quote by Ella Wheeler Wilcox)

Saturday 19 January 2019

Food for Thoughts 17012019

The following three are articles by Faisal Tehrani are very good for introspection and deep reflection. They are indeed worth their weights in gold.

Melayu pandai buat bakul
Faisal Tehrani - January 17, 2019 10:15 AM

Dalam tahun 2002, Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menulis sebuah artikel pendek berjudul “Tragedi Pemikiran Melayu” yang mana beliau menukilkan begini: “Saya rasa Melayu tidak sanggup berubah; perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.”

Pun, Ungku Aziz menegaskan ia bukanlah perangai dan sikap asal Melayu. Tiga hal yang disebutkan oleh beliau itu, menurutnya lagi, adalah gejala atau fenomena baharu.

Kita harus akur, 3 hal yang dinyatakan ini membantut dan membonsaikan tamadun.

Ungku Aziz meyakini Melayu lampau mempunyai kemampuan ekonomi dan strategi pemerintahan yang hebat. Beliau antara lain menyebutkan kegemilangan, kepintaran dan kebijaksanaan Melayu itu dapat ditimba menerusi “Hikayat Raja-Raja Pasai”, dan lebih banyak lagi dalam pantun-pantun Melayu.

Di dalam pantun Melayu, kata Ungku Aziz, terserlah sifat pedagang Melayu yang biasa berdikari, berani, cerdik ilmu dagang dan sedia menanggung risiko. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, Ungku Aziz bagaimanapun menyatakan orang Melayu tidak lagi seperti dahulu. Tidak lagi seperti pada zaman raja-raja Pasai, dan tidak lagi ketika mereka fasih dan licik berpantun.

Ungku Aziz dalam artikel “Tragedi Pemikiran Melayu” itu misalnya dengan yakin menyatakan punca pertama Melayu terperuk dan menjadi statik itu adalah kerana penjajah meletakkan “apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class”. Justeru, ini “membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah”.

Hal ini diburukkan lagi apabila keduanya, orang Melayu tidak berani mempersoalkan.

Ungku Aziz menyinggung betapa tiadanya budaya “inquiry mind” yang menunjukkan juga tidak ada sikap saintifik.

Ungku Aziz menegaskan Melayu “tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran”. Oleh sebab tiadanya pemikiran saintifik, Melayu menjadi selesa. Agama dan tunggak kuasa misalnya menjadikan Melayu selesa. Maka itulah yang disogokkan Inggeris sebagai penjajah.

Saya petik kata-kata Ungku Aziz di sini:
“Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.”

Menurut beliau, Melayu memerlukan “trouble makers”, tetapi malangnya “trouble makers” Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Tentu “trouble makers” penting dalam menghasilkan tamadun. Adalah alamiah sesuatu yang bergeser akan menghasilkan produk. Tiada pergeseran tiada penerbitan.

Akhir sekali, Ungku Aziz menyatakan orang Melayu jadi mundur dan terhempuk kerana pendekatan yang ada untuk membangunkan Melayu adalah “dengan wang ringgit dan kebendaan”, yang menurut beliau lagi, sama sekali tidak betul.

Saya ulangi, sangatlah senang menyalahkan orang (baca: penjajah) oleh kelemahan diri kita sendiri.

Bagaimana kalau kita menggunakan pula pendekatan dan kaedah Malik Bennabi, sambil-sambil mengambil kritikan Ungku Aziz.

Bennabi lahir pada 1905, seorang pemikir Algeria yang banyak mencabar penjajahan Perancis dengan idea-ideanya. Beliau kurang dikenali di rantau sebelah kita kerana karangan yang dihasilkan adalah di dalam bahasa Perancis dan Arab.

Bennabi semasa memacu gerakan kemerdekaan Algeria, menegaskan di dalam tulisannya “Vocation de l’Islam” dan “Shurut al Nahdah” bahawa umat Islam perlu merenungi paksi tamadun masing-masing.
Umat Islam juga harus menghindar diri menjadikan tasawuf sebagai tunjang kerana menurut Bennabi, tasawuf adalah “satu pelarian, yang cukup berkembang pada zaman kemunduran Islam”.

Dalam kuliah tahun 1964 yang kemudian diterbitkan sebagai “Mushkilah al-Hadarah”, Bennabi menyatakan tamadun bukan diukur dengan penghasilan produk. Ini kerana produk adalah natijah, dan bukannya sebab. Tamadun tambah Bennabi, adalah sebab, “natijah tidak akan mendahului sebab”.

Maka untuk mengukur tamadun, kita tidak boleh menilai berdasarkan produk (dalam hal ini kemajuan) tetapi yang mencipta penghasilan atau produk itu.

Dalam hal ini, Bennabi meminta pembacanya menumpukan perhatian kepada manusia dan idea. Inilah sebab. Iaitu hubungan yang terjadi antara kemahuan dan kemampuan masyarakat untuk memajukan diri masing-masing.

Seterusnya pemerhatian Bennabi adalah terhadap syarat-syarat berasaskan akhlak yang mana itulah kebolehdayaan masyarakat dalam menangani segala beban.

Dalam karya-karyanya, Bennabi bukan tidak menyalahkan penjajah. Beliau sedar penjajah Perancis telah melumpuhkan sumber daya dan kekuatan bangsa Algeria. Akan tetapi, Bennabi menggunakan kaedah merenung dan membetulkan diri yang mana sangat diperlukan oleh bangsanya pada waktu itu.

Pendekatan yang sama harus digunakan dalam memeriksa Melayu. Sudah tentu kita tidak dapat menafikan betapa Melayu telah ketinggalan oleh sebab cengkaman penjajah.

Ungku Aziz benar. Inggeris telah menggendalakan kita. Dan kita memang sedar betapa Melayu telah mengalami proses pemomokan sehingga mereka sendiri meyakini mitos yang mereka malas.

Akan tetapi, Melayu mesti akur dan mempunyai kekuatan syarat akhlak untuk mengukur kebolehdayaan dalam menangani beban mendatang.

Melayu mesti bersedia menimbangkan bahawa Melayu sebagai manusia dan anggota masyarakat, dan idea-idea mereka sangatlah terbatas dalam soal “suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.”

Dua beban besar Melayu ialah agama, dan gasakan feudalisme. Selagi tidak lepas dari dua ini, Melayu masih terbatas dan terkepung.

Ini tidak bermakna menggantikan 2 aspek itu akan menerbitkan Melayu menjadi maju dan bertamadun. Yang dimaksudkan di sini adalah agama yang bagaimana yang ingin Melayu pelihara dan pupuk? Seperti yang ditegaskan Bennabi, jika agama itu adalah tasawuf yang tumbuh ketika era mundurnya umat; maka itu adalah agama yang tidak menerbitkan idea dan kemahuan.

Sementara kuasa feudal, jika ia adalah kuasa feudal yang berupaya memacu kehebatan dan kegemilangan seperti pada zaman “Hikayat Raja-Raja Pasai” menyiapkan strategi untuk mendepani Majapahit maka tentulah ia adalah paksi kuasa yang sihat dan perlu.

Oleh sebab itu Melayu perlu melihat diri mereka dalam 2 ruang tersebut. Jika obsesi dan nafsu Melayu terhadap agama adalah yang bersifat pegun di mana pesona Melayu adalah kepada hal-hal fekah yang demikian ranting, maka bagaimanakah Melayu akan kembali mencetus tamadun?

Atau jika Melayu masih tersekat oleh boleh dan tidak boleh kerana tertakluk kepada daulat dan derhaka, maka bolehkah Melayu menelurkan idea besar untuk membina peradaban?

Kita mungkin boleh bersepakat bahawa penjajah memang mempunyai saham besar dalam menekan dan menggendalakan kita, umat Melayu-Islam, untuk berjaya. Ubatnya belum tentu Islam-Melayu. Malah selama ini, Melayu Islam itulah racunnya.

Jika Islam yang dipilih kehilangan dan kegagalan wacana untuk mencetuskan sesuatu yang baharu, maka seperti yang disebutkan Bennabi, kita akan menuju kerosakan dan kemusnahan.

Penawar yang ingin diberikan oleh Bennabi kepada umat Islam, seperti yang ditulis dalam Ta’ammulat dalam tahun 1960 (yang menurut saya boleh diacukan kepada Melayu) adalah untuk maju, masyarakat Islam mesti memberikan jaminan sosial kepada individu masyarakat.

Masyarakat mundur tidak memberikan apa-apa jaminan sosial kepada individunya.

Ada banyak ruang lingkup jaminan sosial. Salah satu jaminan sosial yang Melayu hari ini tidak berani lepaskan ialah memberikan hak kepada kaum minoriti secara sepatutnya.

Untuk mewaraskan penafian hak tersebut, Melayu berlegar-legar di sekitar dua tiang: agama dan kuasa. Jadi, 2 tiang yang harus membebaskan, malah menjadi kongkongan.

Seperti dinyatakan oleh Ungku Aziz dalam tahun 2002: “Dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul”.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Bukan pelacur saja masuk neraka, tuan guru juga

Faisal Tehrani, Free Malaysia Today - October 5, 2018 9:00 AM
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr. Mohd Faizal Musa
dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan 6 sebatan terhadap seorang ibu tunggal selepas dia mengaku bersalah di atas pertuduhan cuba melacurkan diri. Wanita yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan tersebut adalah ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun.

Dakwaan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 tersebut adalah kerana perbuatannya yang bersiap atau cuba melacurkan diri. Wanita yang terdesak terbabit ditahan bersama seorang pelanggan antara 11.20 dan 11.45 malam.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Khazmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Dalam satu prosiding, wanita malang ini mengaku terjebak dalam kancah pelacuran kerana kehidupan yang miskin dan memerlukan wang untuk menyara kehidupan. Ia juga untuk menyarai anak perempuannya yang dijaga oleh kakaknya di Klang.

Membaca berita di atas saya teringat sebuah novelet karangan Sasterawan Negara A. Samad Said yang langka, dan kurang diketahui orang, “Ka-Mana Terbang-Nya?”, diterbitkan dalam tahun 1966. Novelet ini dibukukan sekali dengan sebuah cereka tivi dengan judul “Burong Senja”.

“Salina” sebuah lagi karya Pak Samad yang lebih dikenali diterbitkan pada 1961. Jadi dapat dikatakan, setelah 6 tahun, Pak Samad yang sedang mengecap gelar pengarang muda pada ketika itu sedang berada di puncaknya dan keberanian beliau mencerap situasi masyarakat bawah sambil mengkritik “raja” dan “menteri” dalam “Ka-Mana Terbang-Nya?” dapat dipandang tinggi.

Novelet “Ka-Mana Terbang-Nya?” yang dilabel “cherpan” (cerpen panjang) oleh penerbit menyorot kehidupan sekumpulan pelacur di sebuah kampung bernama “Kampong Alang Sunti”. Latar kampung yang kumuh, kotor, terdesak dan terperuk digunakan sebagai simbol oleh pengarang untuk menggambarkan nestapa hayat dan hidup seharian masyarakat yang tinggal di situ.

Meskipun hanya sebuah novelet, Pak Samad mengangkat dengan sungguh terperinci kehidupan masyarakat pekerja seks yang buntu, bingung, sesak dan tertekan untuk meneruskan nasib mereka.

Permulaan karya tersebut menampilkan watak utamanya Tengku Shaion yang merenung penderitaan dan nestapa sebagai pekerja seks, bergilir dengan sudut pandang Anidah, seorang ibu tunggal dan anaknya Fidah, yang kelihatannya tinggal bersama-sama Tengku Shaion tersebut.

Novelet ini bermula dengan gambaran jelas, keinsafan, kepedihan dan keazaman para pelacur untuk keluar dari lingkaran setan yang menggari dan mencekam mereka. Namun demikian, tanpa pendidikan dan keadilan untuk wanita, pekerja-pekerja seks ini kelihatan hanya mengimpikan nasib yang baik-baik; agar dikahwini dan dapat meninggalkan dunia yang lara itu. Para lelaki yang berada di sekitar mereka malangnya adalah lelaki yang mengambil kesempatan, atau lelaki samseng kaki gaduh yang hanya berpusat hawa nafsu.

Seawal halaman 11, Pak Samad menunjukkan tiadanya usaha dari kelas penguasa untuk menangani akar isu sebenar. Yang ada dalam agenda penguasa ialah pembanterasan moral jahat dan buruk, tanpa menimbangkan keadaan di lapangan, dipetik dari novelet tersebut:

“Beberapa waktu ini akhbar heboh benar mengabarkan tentang gerakan menangkap wanita2 saperti Tengku Shaion. Pelachor mesti di-singkirkan, mesti ditangkap, di-masokkan ka-dalam rumah pemulehan akhlak. Bagitu-lah selalunya berita yang berlanjut2 itu berulang. Dua tiga tahun dahulu besar benar berita tentang ura2 hendak mendirikan rumah pemulehan akhlak itu, dan sekarang khabar itu bergema lagi.”

Novelet “Ka-Mana Terbang-Nya?” menjelaskan kepada kita mengapa seseorang pekerja seks terpaksa melacur dan kehendak ikhlas mereka untuk keluar dari kancah yang hanyir tetapi sering kali ia digagalkan oleh keadaan. Tanpa pemberdayaan dari atas adalah mustahil sama sekali untuk mereka kuat memanjat jurang yang dalam.”

Dalam bahagian lain pada novelet tersebut, para pelacur yang jauh lebih melarat dan tidak laku jika dibanding Tengku Shaion, seperti Apon, Maisarah, Ramisah, Jalilah, Molly, Sui Koon, dan Jeya membincangkan apakah mereka akan masuk syurga kelak, atau dibakar di dalam neraka.

Saya memetik salah satu perenggan tersebut: “Kita semua satu neraka-lah. Dalam api, dalam ayer panas mendideh. Lu, gua Sui Koon, tau?” kata Apon. Itu Jeya, semua, plluss masok neraka, tau?” kata Apon. “itu Pa’ Nordin pun masok juga – dia sama becha2-nya sa-kali.”

Novelet “Ka-Mana Terbang-Nya?” karya Pak Samad ini sememangnya tidak membincangkan wahana pemberdayaan masyarakat agar pelacur-pelacur ini dapat keluar dari neraka dunia. Tentu tiada program yang disarankan oleh beliau. Hanya ada laporan penderitaan di sini.

Akan tetapi seperkara yang sangat penting ialah kebalikan dari itu, ia menunjukkan betapa masyarakat tidak peduli, sementara penguasa yang bertanggungjawab hanya menebas lalang di peringkat bawah.

Kesenyapan kumpulan yang ramai terhadap ketidakadilan meletakkan masyarakat secara umumnya di jalan menuju kebejatan. Masyarakat yang diam akan ketidakadilan dan kepincangan adalah umat yang binasa perlahan.

Sedang, satu suara yang disahut dalam melawan ketidakadilan akan mengeluarkan masyarakat seluruhnya dari jalan kemusnahan tersebut. Keadilan akan menerbitkan kebudimanan di tengah umat.

Di dalam karya ini, Pak Samad mempersoalkan kaum agamawan seperti Zabar yang bukan melakukan kebajikan, dan mencari jalan yang makruf untuk membantu pekerja seks ini keluar dari kesusahan; sebaliknya watak tipikal agamawan ini mengambil kesempatan dari kehinaan orang susah dengan mengetuk ongkos para pelacur ini.

Saya mengutip bahagian yang dimaksudkan dari novelet tersebut:

“Yang boleh masok shurga tu-hah sorang, tu-hah, tu,” kata Jalilah, sambil menunjokkan Zabar berambut puteh jarang-jarang berusia kira2 54 tahun yang sedang menggoreng pisang di-hadapan rumah papan dua tingkat-nya yang chondong ka kiri.

“Itu? Itu lagi masok neraka,” kata Sulimah mengetap2kan gigi. “Kau pikir dia sembahyang terhonggang hongget tu dia tentu2 masok shurga? Heh, belum tahu, belum tahu.”

Maisarah pula menambah: “Kata saja sembahyang, ingatkan Tuhan siang malam. Tapi, tapi lewat sewa rumah sikit saja, dia dulu menjerit “Hei mana sewa rumah? Lu orang mau tidor free-kah? Pandai chari jantan saja-kah?’ kata-nya. Huh, ta’ timbang-rasa. Ta’ ada isi perut sa-sama manusia. Orang gitu na’ masok shurga? Taik anjing! Sama kita juga-lah dia. Berebuuuuuusss masok neraka, kau chari-lah, ya? Berebuuuuuussssss, kata aku, berebussssssssss!”

Watak seperti Zabar ini tentu sahaja wujud di Terengganu. Berapa banyak pondok dan tuan guru di Terengganu? Mengapakah tiada pemberdayaan dilakukan untuk kelas bawah yang terperuk begini?

Apakah pegawai pejabat agama berasakan mereka akan terlepas dari pertanyaan di akhirat kelak, bahawa mengapakah kalian tidak menyediakan sarana dan jalan untuk pelacur ini keluar dari neraka dunia?

Ini kerana tiada siapa dilahirkan untuk sanggup melacur.

Apakah Tuhan akan hanya bertanya kepada para pelacur, mengapa kamu mengangkang? Lantas tidak menanyakan kepada ulama kenapa tiada kalian melakukan kerja makruf memberdayakan mereka agar terselamat dari kehanyiran? Tidakkah Tuhan akan bertanya kepada para penguasa, apakah agenda dan program yang telah kalian susun agar perempuan melarat seperti Anidah tidak perlu melacur di akhirnya dan lingkaran setan itu berterusan dengan anak-anaknya pula?

Dalam tahun 1966, Pak Samad bertanya. Dalam tahun 2018, watak agamawan dan para pekerja seks masih juga terhempuk oleh kenistaan yang tiada penghujung.

Kerana itu pertanyaan Pak Samad bersipongang dan menjadi talun dalam telinga melesat ke enjin benak; “Ke Mana Terbangnya?”

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Menyingkap rahsia sejarah gugup di Pulau Kukup
Faisal Tehrani - January 10, 2019 9:46 AM

Dalam tahun 1878, Sultan Abu Bakar dari Johor mempunyai hubungan yang baik dengan hartawan Arab Peranakan di Singapura, iaitu beberapa keluarga Sayid dengan kekayaan yang luar biasa.

Maksud saya, untuk era itu, kekayaan mereka sukar diucapkan dengan kata-kata.

Sebagai contoh, pada 1870, Syed Ahmad AlSagoff membeli sebuah banglo 10-bilik di Beach House, Singapura daripada Elizabeth Clarke dengan harga $5,450 dolar Sepanyol. Banglo rekaan Robert Scott di Singapura pada tahun 1830 memang diketahui sungguh mewah.

Sudah tentu kekayaan hartawan Arab dari keluarga AlSagoff ini tidaklah datang bergolekan dari Hadhramaut, melainkan kerana kelicikan mereka berhubungan dan memasang jaringan niaga yang menguntungkan bersama-sama penjajah British, dan sudah tentu, kerabat diraja.

Sebagai umpama, AlSagoff akan dijemput untuk berdiri di sebelah Setiausaha Kolonial Inggeris, R.J. Wilkinson di Victoria Memorial Hall dalam banyak acara rasmi.

Malah dalam tahun 1923, apabila Putera Wales melawat Singapura, Syed Omar Mohamed AlSagoff menghadiahkan replika kapal HMS Malaya kepada penjajah yang kosnya adalah $10,000. Replika itu sungguh besar sehingga ketibaannya menjadi satu pesta-pestaan di pulau tersebut.

Dalam tahun 1935, sekali lagi keluarga Arab mengikrarkan bai’ah kepada Inggeris menerusi sambutan naik takhta King George V dengan membina sebuah bahtera berlampu-lampuan dengan tertera tulisan bercahaya “God Save The King”.

Peguam keluarga AlSagoff juga bukan calang-calang. Beliau hanya mendapatkan khidmat guaman dari firma British, iaitu Messrs. Donalson dan Burkinshaw di Singapura.

Surat rasmi bertarikh 1 Mac 1923 yang menjelaskan Pulau Kukup (juga dieja Kukub dan Cocob) dihadiahkan dalam tahun 1878 dan 1884 kepada AlSagoff, telah dihantar melalui firma guaman B.R. Whitehouse kepada firma Drew dan Napier.

Dalam tempoh itu juga, AlSagoff sering mengiringi Sultan Abu Bakar dari Johor dalam banyak pelayarannya ke Eropah, dan beliau diberikan kepercayaan menguruskan banyak hal-ehwal berniaga dan berdagang milik Sultan Johor. Beliau diberikan pingat dan gelaran diraja dalam tahun 1886, dan merupakan antara orang biasa yang pertama diberi anugerah seumpama itu.


Menghadiahkan sebuah pulau kepada mana-mana hartawan atau orang kegemaran adalah sesuatu yang agak biasa pada kurun tersebut.

Sultan Hussein Shah (1819-1835) misalnya pernah memberi Pulau Karimun kepada Sayid Aqil dalam tahun 1825.

Oleh itu bukanlah aneh Pulau Kukub diberikan kepada AlSagoff yang akrab dengan raja. Bahkan menurut catatan sejarah, beliau dibenarkan untuk memilih sendiri mana-mana pulau idaman hati.

Maka, AlSagoff belayar mengelilingi perairan Johor untuk mencari pulau yang cucuk dengan keinginannya.

Pada mulanya beliau inginkan sebuah pulau di sebelah timur tetapi kebanyakannya telah dihadiahkan kepada saudagar Cina bernama Wong Ah Fok. Orang Melayu mungkin membaca, “Nasib baiklah Pulau Kukub jatuh ke tangan AlSagoff” memandangkan beliau seorang Arab.

Tambahan pula AlSagoff dikatakan menjadi tali penghubung antara kerajaan Othmaniyyah dengan Sultan Abu Bakar.

AlSagoff membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pulau ini kepada Datuk Penggawa Barat, Datuk Abdul Samad Ibrahim. Tanah beliau ditandai sebagai “kiri mudek Sungai Permas” di sebelah kiri, “kanan mudek Sungai Pontian Besar” di seeblah kanan dan ke utara sebagai “kiri mudek Sungai Jeram Batu yang di dalam, Sungei Pulai” iaitu menghala ke kawasan hutan bakau.

Di bahagian lain pulau itu, ia telah diberikan kepada saudagar Cina, Tan Eng Kwang yang memperoleh surat sungai pada tahun 1878 dan 1880.

AlSagoff kemudian menambah lagi koleksi tanahnya di Ayer Masin, Penerok, Rambah, dan Permas. Semuanya ditanami dengan gambir, lada hitam, pinang, rumbiah, kelapa, getah, kopi dan nanas.

Beliau mentadbir Pulau Kukub dari rumah mewahnya di Bukit Tunggal, Singapura. Akan tetapi, beliau akan melawat pulau tersebut dari masa ke semasa. Alsagoff and Co mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Pelaburan AlSagoff ini mengubah sama sekali Pulau Kukup dari sebuah pulau lindungan dan tempat persembunyian lanun dalam awal kurun ke-19. Terdapat jeti dan pangkalan, juga jalan raya.

Beliau malah menjadikan Pulau Kukup negeri kecilnya dan memberi nama sebagai “Constantinople Estate” dengan menerbitkan mata wang sendiri bernilai $2.00, $1.00, 50 sen dan 25 sen.

“Constantinople Estate” ini bagaimanapun bukanlah syurga Othmaniyyah, tetapi bahkan menjadikan Pulau Kukup sebuah neraka.

AlSagoff mengasaskan syarikat perkapalan, Alsagoff Singapore Steamship and Co yang membawa jemaah haji ke tanah suci. Sebelum itu, monopoli pengangkutan laut menghantar jemaah haji adalah di tangan Dutch East Indies.

Caj pelayaran ke Jeddah itu sangat tinggi sehinggakan ramai jemaah haji mengadukan hal kepada pejabat Suruhanjaya British di Jeddah.

Selain caj mahal, AlSagoff turut menggunakan kaedah pembayaran “contract-ticket” yang terselindung kejahatan. Pada mulanya kontrak tiket pelayaran itu hanya ada di dalam bahasa Inggeris (sehinggalah ditegur oleh Othmaniyyah agar memasukkan bahasa Melayu), sedangkan ketika itu masih ramai jemaah haji yang buta huruf.

Salah satu perjanjian pelayaran yang kurang difahami oleh jemaah haji adalah jika mereka tidak dapat membayar pinjaman balik, mereka akan berhutang dan untuk melunasinya perlu bekerja hanya di Kukup atau “Constantinople Estate” sehingga selesai.

Jumlah jemaah haji, khusus dari Jawa yang tersadai di Mekah kerana caj mahal, dan kemudian tidak dapat membayar semula tiket pelayaran pergi balik, sangat ramai.

Mereka menjadi buruh di Kukup, dan keadaan sangat buruk.

Arthur Alban dari pejabat Suruhanjaya British di Jeddah membantah kaedah ini. Menurut beliau, perjanjian itu sangat berat sebelah, tidak difahami oleh mereka yang menyetujuinya di awal, dan lebih malang ialah kebanyakan mereka terus diminta bekerja di ladang milik AlSagoff meskipun hutang telah usai.

Sejarawan J.M. Gullick dalam tahun 1984, ketika menyampaikan kuliah sempena James C. Jackson Memorial Lecture di Adelaide, Australia mengatakan dalam kuliah berjudul “The Entrepreneur in Late 19th Century Malay Peasant Society”, AlSagoff berjaya memperkenalkan semula konsep hamba piutang di Kukup.

Padahal lama sebelum itu, gejala perhambaan dalam kalangan orang Melayu kerana gagal membayar hutang telah lama dihapuskan.

Saya ingin memetik kekesalan beliau akan keadaan perhambaan dan ketidakadilan ini dalam bahasa asal:

“Capitalism in its least attractive guise is found in Johor and much of it was a crude exploitation of indentured Javanese labour. Sultan Abu Bakar liked to display his plantings of tea, coffee and cocoa to European visitors. Some of the settlement along the west coast of Johor were developed by the use of imported Javanese ‘orang tebusan’ who had been sold to local peasant landowners by ‘sheikhs’ who had brought them in from Java to work off their debts.

“The most notorious case was the estate of Syed alSagoff on the island of Kukub off the Johor coast. Here there were 10,000 acres under sago, coconut, areca and coffee in a remote place beyond any form of supervision. Many of the Javanese labourers were pilgrims to Mecca who had been fleeced or swindled out of their money in Arabia and so had been shipped back to Singapore at the expense of the Singapore Arab merchant, Syed alSagoff. In return for this aid they entered into contracts by which they agreed to repay the loan through working as labourers.

“Alsagoff had no agricultural land in Singapore, where the contract should have been performed but he and his European lawyers found means of getting the Javanese transferred to Kukub. This surely was debit-bondage come again.”

Perlahan-lahan, nama Pulau Kukup yang berasal dari kata “terlungkup” kerana perahu diterbalikkan ombak atau diserang lanun disandarkan pula dengan kegiatan perhambaan.

Justeru, Pulau Kukup menyimpan sejarah gugup.

Doa hamba yang diperlakukan dengan zalim ini akhirnya makbul. “Constantinople Estate” dilanda pelbagai masalah, dan AlSagoff menjual sebahagian tanah kepada Peneiro Planting Syndicates dalam tahun 1906 dan pada 1926, pemerintah British mengambil kembali tanah pertanian penuh derita itu.

Pulau Kukup sayogia eloklah berada di bawah lindungan bunian, seperti mana lagenda tempatan Pulau Kukup menceritakan, ia adalah tempat mandian lima puteri.

Kadangkala berada di bawah pemerhatian dan jagaan bunian jauh lebih baik berbanding berada di tangan kapitalis dan sekutunya seperti AlSagoff.

Apatah lagi hari ini kita semua telah memilih sistem politik yang tiada hamba tiada tuan. Bahkan rakyat adalah tuan. Seperti yang telah diingatkan oleh J.M Gullick dalam tahun 1984.

Kini Pulau Kukup telah diiktiraf sebagai tapak RAMSAR (Kawasan Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa) pada tahun 2003. Terdapat 27 spesis bakau di sini dan terdapat program konservasi oleh Tabung Alam Sedunia.

Hujung bulan ini, pada 31 Januari, adalah sambutan ulang tahun ke-15 pengisytiharan tersebut oleh Biro RAMSAR di Geneva, Switzerland.

Moga pulau ini terus dilindungi bunian, buat selama-lamanya.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


No comments:

Post a Comment